PILIHAN UTAMA

OTHER AZ WEBSITE


WEBSITE ARTIS

RADIO ONLINE


SUMBER BERITA


MESTI KLIK

FAV FORUM


 
 
GALERI FOTO ANUAR ZAIN
Ruangan himpunan koleksi gambar² Anuar Zain yang di perolehi dari pelbagai sumber ... Galeri Foto Anuar Zain
SEMBANG SEMBANG
Sembangkan sesuatu di sini. Di ingatkan setiap topik yang dihantar hendaklah mesej yang membina bukan untuk perkara² negatif ... Forum

WELCOME / SELAMAT DATANG >

Ahad, 26 Oktober 2008

Rencana Seni Tiga Jejaka

AMAT jarang tiga penyanyi lelaki yang berlainan genre ini disatukan dalam satu sesi fotografi.
Apatah lagi, ketiga-tiga lelaki ini mewakili jalur muzik yang cukup berbeza lantas mereka mempunyai peminat tersendiri.

Mungkin peminat mahupun masyarakat di luar sana mempunyai persepsi tersendiri tentang ketiga-tiga mereka yang mungkin tidak boleh disatukan namun telahan itu semuanya silap.
Sepanjang fotografi yang berlangsung di Carcosa Seri Negara, baik Anuar Zain, Faizal Tahir mahupun Sean Ghazi dilihat mempunyai keserasian yang cukup baik dan terdengar sesekali mereka berbicara serta berkongsi pendapat tentang pelbagai perkara dari muzik sehinggalah ke fesyen.


Sebenarnya, fotografi kali ini mengambil pendekatan untuk membicarakan tentang impak daripada kemenangan anugerah yang pernah dimiliki oleh tiga jejaka ini tatkala ketiga-tiga mereka mempunyai satu persamaan iaitu pernah dinobatkan dengan gelaran Artis Baru Terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM).


Mungkin ramai yang akan bertanya apakah rasionalnya isu ini dibicarakan di kala semangat dan suasana Syawal masih hangat terasa. Namun, apa salahnya, sekali-sekala pendekatan itu dilencongkan.


Sememangnya setiap insan seni akan mengidamkan anugerah untuk berada di dalam genggaman tetapi sejauh manakah anugerah itu mampu memberikan impak yang besar dalam karier seni mereka.


Ada yang berjaya dan tidak kurang pula ada yang terus tenggelam. Untuk mengupas isu ini, Anuar, Faizal dan Sean telah masing-masing memberikan buah fikiran mereka.


Bukan alasan goyang kaki – Anuar


TIADA siapa mampu menafikan kehebatan vokal Anuar yang sememangnya berada di kelas yang tersendiri. Sudah lahir dengan tiga buah album dengan menggunakan judul yang sama iaitu Anuar Zain pada tahun 1998, 2002 dan 2007, lagu-lagu dendangannya bisa membuat peminat dan pendengar terleka dengan alunan yang dibawakannya.


Pernah menggenggam tiga trofi AIM, kata Anuar, banyak membantu kerjaya seninya dan buktinya, dia mampu berdiri sehingga ke hari ini setelah sedekad bergelar penyanyi solo yang tetap utuh mempertaruhkan irama pop R&B.


“Memenangi anugerah adalah satu bonus dalam karier seni seseorang itu dan pada saya ia membuktikan bahawa hasil kerja seseorang itu diiktiraf setelah penat berhempas-pulas memberikan yang terbaik buat peminat dan industri muzik itu sendiri.
“Malah, memenangi anugerah membawa rezeki yang cukup murah pada saya dan tidak langsung saya anggap sebagai satu tekanan.


“Namun, saya tahu masyarakat adakalanya menganggap memenangi anugerah itu bagaikan membawa badi apabila ada di antaranya yang tidak menjadi dan langsung hilang begitu sahaja,” ungkapnya membuka bicara. Katanya lagi, memenangi anugerah bukanlah alasan untuk artis itu goyang kaki dalam menantikan rezeki di depan mata.


Sebaliknya, artis itu sendiri harus mempunyai inisiatif sendiri dalam merencanakan karier seni masing-masing dan bijak mencari peluang untuk terus memahat nama di persada seni tanah air.
“Tetapi saya percaya juga, rezeki dan tuah itu juga harus ada untuk menyokong perjalanan seni artis itu,” tutur Anuar tersenyum. Memenangi anugerah juga kata orang, bagaikan satu tiket untuk seseorang artis itu mula meletakkan harga tinggi.


“Saya mahu yang terbaik dalam apa jua yang saya mahu lakukan. Orang yang mengatakan saya demand itu sebenarnya tidak faham dan meneliti kontrak yang telah disediakan. Apabila mereka tidak dapat apa yang mereka mahu, mulalah menjaja cerita yang tidak betul.


“Setakat ini, saya tidak mempunyai masalah dengan sesiapa pun dan mereka yang pernah bekerja dengan saya juga tahu bagaimana saya bekerja,” jelas Anuar yang akan mula sibuk berlatih selepas Syawal nanti untuk konsertnya di Singapura yang akan berlangsung pada 5 November depan.


Tekanan buat Faizal


NAMANYA pernah dihambat dengan kontroversi dan hampir melumpuhkan namanya tetapi empat anugerah AIM yang dimenangi pada bulan Mei lalu membuktikan bahawa dia adalah kuasa baru yang mampu merobah senario muzik tempatan.


Aura yang terserlah menerusi irama rock yang diperjuangkan membuktikan Faizal mampu berdiri teguh dalam industri dalam jangka masa yang agak lama.
Dengan penuh jujur, luah Faizal, kemenangan besarnya di AIM telah memberikan satu tekanan kepadanya apabila tawaran untuk persembahan tidak menunjukkan sebarang peningkatan.
“Alasan yang saya terima kebanyakannya mengatakan bimbang saya akan menjadi demand tetapi percayalah, sebelum dan selepas menang AIM harga saya masih sama.


“Inilah realiti yang harus saya terima tetapi itu langsung tidak akan mematahkan semangat saya untuk bekerja keras dalam memantapkan karier seni saya,” katanya yang kini sibuk dengan pembikinan album keduanya.


Bukan itu sahaja, bapa kepada dua orang anak ini juga memberitahu, dia cukup gusar dan bimbang dengan pengharapan serta penerimaan peminat dan masyarakat terhadap dirinya setelah memenangi AIM.


“Memang menang anugerah itu cukup menyeronokkan tetapi saya harus menggalas tanggungjawab yang cukup besar kerana sudah pasti peminat mahukan saya memberikan yang terbaik selepas ini. Sudah pasti ia memberikan tekanan kepada saya,” kata Faizal yang juga sibuk mencipta lagu untuk Anuar, Dayang Nurfaizah dan Fazli Zainal.


Kualiti diutamakan – Sean


PERNAH menggegarkan peminat muzik menerusi karya sulungnya, Semalam, yang membawa revolusi baru dalam dunia muzik tempatan, Sean terus berdiri dengan gayanya yang berada dalam kelas yang tersendiri.


Walaupun lagu-lagunya tidak langsung dimainkan di radio popular tanah air, namun, ia langsung tidak mematahkan semangat anak kacukan Melayu-Serani ini untuk terus memberikan yang terbaik untuk buah tangan yang seterusnya.


“Saya puas hati dengan sambutan yang diberikan untuk album Semalam yang sehingga kini sudah pun terjual lebih 10,000 unit. Maklum balas yang diterima sudah cukup menggembirakan saya dan ia banyak menaikkan semangat saya untuk terus memberikan yang terbaik.
“Anugerah yang pernah saya terima juga sebenarnya membuktikan bahawa perjuangan saya dalam menghasilkan produk yang berkualiti diiktiraf dan ia telah diiktiraf oleh mereka yang cukup bertauliah,” kata Sean yang dilahirkan pada 4 April 1969 ini.


Tambahnya, dia tidak mahu melahirkan album saban tahun tetapi kualitinya dipinggirkan kerana dia lebih gemar mengambil pendekatan, biar lambat, asalkan ia mampu memberikan seribu kepuasan kepada peminat dan penggemar muzik.


“Lebih membanggakan saya lagi, muzik saya telah berjaya membuka mata mereka yang lebih muda dan kini mereka tahu, istilah muzik yang sebenar. Ternyata, ini semua juga adalah kerana impak daripada kemenangan saya di AIM,” tuturnya penuh makna.



Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZALshazryn.faizal@utusan.com.my>

0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama

 
 
 
CHAT BOX


MUSIC ZONE


FAV BLOG
-
 
 
ANUAR ZAIN BLOG © 2008 • Design by Shahrul Aiman