
Masakan tidak, buat pertama kali dalam diari seninya ketika mengadakan persembahan pentas, inilah baru kali pertama dia tidak turun dari pentas untuk mendekatkan diri bersama peminatnya.
Puncanya hanya satu, dek kontroversi yang dibesarkan oleh sesetengah individu yang tidak bertanggungjawab menjadikan isu kenyataan Anuar ‘rela dipeluk dan dicium’ sewaktu majlis sidang medianya tempoh hari.
Hakikatnya, kenyataan Anuar pada sidang media itu telah disalah ertikan oleh beberapa pihak.
Apakah motif di sebaliknya sehinggakan Anuar sendiri tersinggung dengan perlakuan tersebut?
Mengakui terkilan dan sedih dengan apa yang berlaku, kerana itu A Nite With Anuar Zain menjadi sejarah baginya dan peminat apabila dia langsung tidak turun dari pentas ketika menghiburkan peminatnya.
Meskipun sebilangan besar peminat wanita menjerit-jerit memintanya turun namun dia hanya mampu tersenyum manis.
Setelah berulang kali peminatnya menjerit-jerit memintanya turun, Anuar sempat berkata: “Kalau saya turun sumpah ya tak buat apa-apa, boleh? Apa nak cium, cium tangan boleh!”
Hakikatnya, lelaki ini sememangnya tidak mampu membendung keinginan mendekati dan bermesra dengan para peminat yang sanggup membuat pelaburan besar untuk menonton persembahannya tempoh hari.
“Inilah kali pertama saya tidak berbuat demikian. Saya nak sangat turun tapi saya tahan kemahuan tersebut dan saya sangat terkilan,” luahnya penuh ralat.
Lantaran pendirian yang teguh, Anuar berterus-terang tindakannya itu membuatkan sebilangan besar peminatnya hampa dan terkilan.
“Saya tahu ada peminat yang hampa, tapi sekurang-kurangnya mereka berpuas hati dengan persembahan yang telah saya berikan pada malam ini,” kata penyanyi lagu Lelaki Ini mengharapkan pengertian peminat-peminatnya.
Walaupun Anuar tidak turun dari pentas namun peminat-peminat setianya tetap tidak mahu melepaskan peluang untuk mendekatinya.
Mereka sanggup berebut ke hadapan pentas untuk bergambar dan bersalam dengannya.
Melihat situasi tersebut Anuar memohon kepada peminatnya untuk berdiri membuat barisan di hadapannya.
Namun kesemua mereka enggan bekerjasama, mungkin juga berkecil hati dengan penyanyi kesayangan mereka itu.
Menghiburkan peminat seramai 1,240 orang di bawah pimpinan pengarah muzik terkenal, Mac Chew, persembahan A Nite With Anuar Zain itu bagaimanapun kata Anuar, tidak dapat dijayakan dengan mudah.
Menurutnya, sebelum persembahan itu dijayakan, dia berhadapan dengan pelbagai kesukaran antaranya keretanya rosak dan jurutera muziknya tidak muncul-muncul sehingga persembahan.
“Namun saya percaya semua itu ujian buat saya,” katanya dalam nada tenang.
Ingin mengadakan konsert
Berikutan kejayaan luar biasa pementasan A Nite With Anuar Zain itu, penyanyi berbintang Aquarius ini mengumumkan hasratnya untuk mengadakan konsert pada penghujung tahun ini.
Mendambakan sebuah konsert yang mampu dihadiri sekitar lebih 5,000 peminatnya sehingga kini Anuar masih lagi menanti penaja-penaja yang sudi merealisasikan impiannya itu.
Mengakui agak sukar untuk mendapatkan penaja namun Anuar bagaimanapun, optimis serta tidak berkecil hati dengan situasi yang sedang dialaminya ini.
“Memang sukar untuk artis tempatan mendapat tajaan bagi mengadakan konsert. Tapi saya tidak akan putus asa kerana mereka mempunyai hak untuk menaja atau tidak seseorang artis. Kita tak boleh paksa sebaliknya saya akan tetap terus mencuba menyakinkan mereka,” jelas penyanyi yang sudah 25 tahun melibatkan diri dalam industri hiburan.
Pada acara A Nite With Anuar Zain anjuran Sutra D'Mega Event & Entertainment itu, Anuar menghiburkan peminatnya menerusi 14 buah lagu selama lebih dua jam persembahan tersebut.
Membuka persembahan menerusi lagu Keabadian Cinta, Sesucinya Cintamu dan Semua Untukmu, vokal lelaki ini tidak perlu dipertikaikan lagi.
Jeritan dan pekikan peminatnya usah dibayangkan. Anuar bijak mengambil hati peminatnya dengan membariskan senarai lagu-lagu indah antaranya Jangan Bersedih Lagi, Perpisahan, Teman Terulung dan menutup persembahan pada malam itu menerusi lagu Ketulusan Hati.
Istimewanya persembahan pada malam itu juga, Anuar memilih menyampaikan lagu-lagu popularnya tanpa sebuah pun lagu Inggeris mahupun lagu artis-artis lain.
“Semuanya kerana peminat. Saya mahu mereka berhibur dengan lagu nyanyian saya. Persembahan ini untuk mereka (peminat), jadi mereka harus diraikan dengan lagu-lagu saya, bukan lagu-lagu orang lain,” jelasnya mengenai rasional pemilihan lagu tempoh hari.Itulah pendirian lelaki bernama Anuar Zain