PILIHAN UTAMA

OTHER AZ WEBSITE


WEBSITE ARTIS

RADIO ONLINE


SUMBER BERITA


MESTI KLIK

FAV FORUM


 
 
GALERI FOTO ANUAR ZAIN
Ruangan himpunan koleksi gambar² Anuar Zain yang di perolehi dari pelbagai sumber ... Galeri Foto Anuar Zain
SEMBANG SEMBANG
Sembangkan sesuatu di sini. Di ingatkan setiap topik yang dihantar hendaklah mesej yang membina bukan untuk perkara² negatif ... Forum

WELCOME / SELAMAT DATANG >

Selasa, 19 Mei 2009

Anuar Zain Ke Singapura Lagi

BERITA gembira untuk peminat seberang tambak. Anuar Zain akan berkunjung lagi ke Singapura dalam rangka persembahannya di republik tersebut. Hah! Mesti ramai yang tersenyum girang mendengar berita yang satu ini kan! Nampaknya Abang Nuar kita ini pun diam-diam berisi. Tak payah dok kalut sana sini buat kenyataan, tapi kerjanya tetap jalan.

Terkini, selepas kejayaan show Anuar Zain... Piano... & You berlangsung penuh meriah pada 6 Februari lalu di sebuah hotel di ibu kota, Joyah dengar Anuar Zain nak buat show yang lebih kurang sama di Singapura pula.

Hah! Mesti para peminat jejaka idaman Malaya ini tak sabar-sabar nak menantikan kemunculan Anuar Zain di sanakan? Sabar. Tak lama sahaja lagi. Bulan depan, Anuar memilih 7 Mac sebagai tarikh untuk bertemu peminatnya.

Joyah pun terasa teringin benar nak ikut abang Nuar ke sana menonton persembahan itu. Iyalah, show di sini Joyah terlepas, jadi Joyah tak mahulah terlepas peluang sekali lagi.

Jadi, kepada peminat setia, cepat-cepat tempah tiket. Sebab tempat duduk sangat terhad. Seperti sebuah persembahan yang intim yang dilakukannya di Kuala Lumpur, di Singapura juga, Joyah dengar tempat duduknya hanya terhad kepada 500 orang sahaja.

Iyalah, Anuar sendiri memang sukakan sebuah persembahan yang intim, yang dia dapat beramah mesra dengan setiap orang yang menyaksikan persembahannya itu.

Dan seperti persembahannya di ibukota, Anuar juga memilih lokasi sebuah hotel terkemuka di sana untuk bertemu dan bermesra dengan para peminat sebarang tambak. Bukan satu konsert besar seperti di Esplanade Theater yang berlangsung pada 8 November tahun lalu.

Seperti juga persembahan di Kuala Lumpur, Anuar akan mengambil kesempatan untuk mengunjungi setiap meja dan bermesra bersama peminat yang hadir. Hah! Pasti ramai yang dah mula teruja kan! Ya! Anuar akan singgah di setiap meja dan bertemu dengan anda.

Joyah dengar ketika show di Kuala Lumpur, bukan main seronok peminatnya bermesra dengan Anuar. Anuar kalau bertemu peminat di meja, dia tidak akan menyanyi. Dia hanya layan peminat sahaja. Dia hanya mendendangkan lagu di pentas sahaja. Kelas gitu!

Dan Joyah dengar, kalau di sini, persembahan Anuar diiringi piano, di Singapura pula Anuar memilih keyboard.

Peritnya Anuar Mencari Lagu

AGAK lama juga Papa tidak mendengar sebarang perkhabaran terbaru tentang penyanyi kegemaran Papa, siapa lagi kalau bukan Anuar Zain atau yang Papa panggil Abang Nuar.

Kalau dia sepi sekalipun dari paparan di media, namun, itu bukan bermakna Anuar duduk diam goyang kaki. Walaupun ekonomi kini agak suram, Papa dapat tahu, Anuar antara artis yang masih lagi mendapat tempat untuk persembahan makan malam.

Terbaru, malam Jumaat lalu, Anuar telah mengadakan satu persembahan khas secara tertutup khusus untuk 350 orang peminatnya bertempat di Hotel Concorde, Kuala Lumpur yang bertemakan Anuar...Piano...& You.

Rentetan daripada kejayaan persembahan itu, Papa terdengar juga Anuar akan ke Singapura untuk membuat persembahan yang serupa di salah sebuah hotel terkemuka di kota metropolitan itu.

Wah, hebat sungguh abang Nuar kita kan. Khabarnya juga, pihak media dari Malaysia juga akan dibawa bersama untuk menikmati persembahan pada malam itu.

Dalam perkembangan lain, Papa ada terdengar juga yang kini Anuar sedang mencari material untuk album keempatnya tetapi malangnya, sehingga kini, tidak banyak lagu yang diterima oleh Anuar.

Seperti biasa, Anuar yang Papa kenali, dia memang cukup mementingkan kesempurnaan dan itu semua kerana untuk memberikan hasil yang terbaik. Jika tidak, masakan album ketiganya, Anuar Zain berjaya terjual sebanyak 31,000 unit meskipun pernah dikecam hebat.

Anuar sebenarnya membuka pintu kepada semua komposer tempatan baik yang lama mahupun baru untuk memberikan lagu kepadanya dan yang penting, Anuar mahu sesuatu yang baru dan segar. Jadi, jangan kata Anuar agungkan komposer luar tau!

Anuar Zain Kahwin Senyap - Senyap?




Sebelum ini ada orang sebarkan cerita kononnya penyanyi Anuar Zain buat perancangan nak kahwin. Tiba-tiba minggu lalu tersebar gambar Anuar dengan seorang wanita di atas pelamin memakai pakaian sedondon berwarna putih gading. Maka timbullah cerita yang Anuar kononnya dah kahwin senyap-senyap.

Untuk mendapatkan kepastian, petang Rabu lalu Niezam bertanya sendiri kepada Rohila, pengurus kepada Anuar. Rohila pun mengaku dia tak pernah dengar cerita yang Anuar sudah kahwin seperti yang heboh diperkatakan orang.

Selepas gambar “perkahwinan” itu diberikan kepada Rohila, dia betul-betul terkejut.

Selepas meneliti gambar tersebut, Rohila mengesahkan gambar itu diambil ketika Anuar menghadiri majlis perkahwinan anak kepada seorang pengarah syarikat yang diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Anuar diundang untuk membuat persembahan pada majlis itu kerana si pengantin memang meminati Anuar. Apabila berita tak betul itu tersebar, kata Rohila dia bimbang perkara itu mungkin akan mencemarkan imej keluarga pengantin.

“Saya berharap semua pihak tolong hentikan daripada menyebarkan e-mel yang tidak bermanfaat seperti ini kerana ia bukan sahaja memburukkan Anuar tetapi isteri orang,” kata Rohila dalam e-melnya.

Itulah akibatnya apabila kemudahan teknologi yang ada sekarang ini dilakukan oleh mereka yang tak bertanggungjawab untuk menyebarkan berita palsu. Yang pasti kalau betul Anuar nak kahwin atau sudah sampai jodohnya, dia tak akan sorok-sorok punya.

Disebabkan Anuar memang ramai peminat, tidak hairanlah dia selalu dijemput membuat persembahan pada majlis-majlis makan malam dan juga resepsi perkahwinan.

Selepas ini kalau tersebar lagi gambar-gambar Anuar dengan mana-mana pengantin, janganlah percaya yang dia nak sorok perkahwinan.

Anuar Rasa Tempias Kegawatan


ANUAR tidak mampu untuk mengelak apabila menjadi sasaran peminatnya yang tidak mahu melepaskan peluang bergambar dengannya.


TIADA siapa yang mampu menafikan, kegawatan ekonomi yang melanda dunia hari ini sememangnya memberi kesan mendalam kepada kita semua.

Mahu atau tidak, senario itu harus dihadapi dan ia sebenarnya terpulang kepada kebijaksanaan kita untuk merencana perbelanjaan dan kewangan kita.

Ini diakui sendiri oleh penyanyi lelaki tersohor negara, Anuar Zain yang tidak menafikan kegawatan ekonomi hari ini menyebabkan beliau lebih berhati-hati dalam segala urusan sehariannya.

Apatah lagi, penyanyi tempatan ini dilaporkan tersenarai sebagai antara artis tempatan yang menerima bayaran tinggi untuk setiap persembahan pentas.

Jelasnya, sebagai anak seni, tempias itu amat dirasainya meskipun tawaran persembahan masih lagi kencang diterima.

Dengan segala permasalahan yang melanda dunia hari ini, Anuar menjelaskan, ia terpulang kepada individu itu untuk merancang dengan sebaiknya dalam apa sahaja yang mereka lakukan.

"Begitu juga dengan saya yang kini lebih selektif dalam soal perbelanjaan kerana saya juga perlu fikirkan tentang masa depan saya.

"Namun, saya amat bersyukur kerana tawaran nyanyian dan persembahan masih lagi ada dan perkara itu tidak pernah berubah walaupun dalam masa yang sukar begini," jelas Anuar membuka bicaranya.

Anuar ditemui selepas persembahan A Luncheon With Anuar Zain sempena minggu setiausaha yang diadakan di Pusat Konvensyen Sime Darby (SDCC), baru-baru ini.

Majlis anjuran Glamour International Entertainment Sdn. Bhd. , itu turut menyaksikan kehebatan pelakon dan pelawak, Dee selaku hos selain diserikan dengan penyanyi jemputan, Fazli Zainal yang turut menyampaikan tiga buah lagu iaitu Kalbu, Sejuta Nafas Cinta dan Harapan.

Sememangnya Anuar seorang yang cukup bertuah kerana di kala anak seni lain mengeluh kerana tiada tawaran persembahan nyanyian, namun, Anuar masih unggul dan tetap menjadi pilihan.

Semuanya adalah kerana hasil kerja yang diberikan Anuar berada dalam kelas tersendiri yang mampu memberikan kepuasan maksimum kepada peminat dan penganjur.

Kegilaan wanita

Menyambung bicara, pemilik nama penuh Shahrul Anuar Zain ini memberitahu, dia begitu memahami situasi yang berlaku sekarang dan apa yang dilakukannya adalah bertolak-ansur dengan pihak penganjur persembahan.

"Kita bekerja mengikut bajet yang dikeluarkan mereka. Seboleh-bolehnya, memang saya tidak mahu menghampakan permintaan sesiapa dan segala tawaran yang saya terima merupakan rezeki yang ditentukan oleh Allah," jelas Anuar yang meraikan ulang tahun ke-11 penglibatannya sebagai penyanyi solo.

Tambah pemilik vokal lagu Keabadian Cinta dan I'm The Lucky One ini lagi, kenikmatan hidup dan segala kejayaan yang dikecapinya hari ini adalah berkat doa ibu bapa, keluarga, rakan-rakan, peminat selain daripada usahanya sendiri.

Bercerita mengenai persembahan eksklusifnya sempena Minggu Setiausaha tahun ini, walaupun masih lagi belum pulih sepenuhnya daripada demam dan batuk, Anuar tetap berpuas hati dengan persembahannya serta sambutan yang diberikan.

Seboleh-bolehnya, dia tidak mahu menghampakan peminat yang hadir dengan melaburkan wang yang begitu besar semata-mata untuk menyaksikan persembahannya itu.

Hakikatnya, Anuar menjadi kegilaan wanita yang bagaikan histeria setiap kali menyaksikankan persembahannya sudah termaktub sejak dia muncul sebagai penyanyi solo.

Senario itu juga dapat dilihat pada persembahannya yang menawarkan harga tiket dari RM398++, RM448++ dan RM498++ seorang , apabila peminatnya tidak henti mahu bergambar, berpeluk dan berbicara dengannya.

Kehadiran peminatnya yang sanggup datang dari jauh seperti dari Muar, Johor dan Singapura sememangnya cukup menyentuh dan membuatkan jejaka berbintang Aquarius ini terasa benar-benar dihargai.

Itulah pesona dan karisma seorang penyanyi lelaki terkenal yang hadir dalam pakej lengkap dan terus meletakkan dirinya sebagai seorang penyanyi dan penghibur di dalam liganya sendiri.

"Saya bukan sekadar menyanyi tetapi juga memenuhi permintaan mereka untuk bergambar bersama. Saya tahu wang yang mereka keluarkan bukanlah satu amaun yang sedikit.

"Kerana itu, saya mencuba sedaya-upaya untuk menggembirakan mereka agar mereka pulang dengan perasaan puas," jelas pemenang Vokal Lelaki Terbaik Anugerah Industri Muzik dua kali ini penuh rendah diri.

Selain itu kata Anuar, apa yang membuatkan dia begitu gembira dengan persembahannya adalah repertoire lagu yang dipilihnya pada petang itu.

Selain rangkaian lagu popularnya seperti Lelaki Ini, Ketulusan Hati, Bidadari, Mungkin, Keabadian Cinta, Kain Pelikat dan banyak lagi, Anuar juga menyampaikan lagu-lagu yang menjadi kegemarannya sebagai tanda mahu berkongsi dengan peminatnya.

Lagu-lagu tersebut adalah Hanya Kau Yang Mampu, nyanyian asal Aizat yang juga merupakan bintang baru negara yang cukup diminati Anuar, Careless Whisper (George Michael), Jerat (Harvey Malaiholo), Selalu Denganmu (Tompi) dan Terima Kasih Cinta (Afgan).

Persembahan Anuar diiringi tujuh orang pemuzik serta tiga orang penyanyi latar di bawah pimpinan Alwyn Santiago. Mereka telah memberikan hasil kerja yang cukup menakjubkan dalam menghidupkan perjalanan persembahan Anuar pada petang itu.

Masih lagi mengharapkan konsert sulungnya di negara ini akan menjadi kenyataan, Anuar hanya mampu berdoa agar impiannya itu mampu dijelmakan kelak.

"Semuanya terlalu awal untuk diperkatakan kerana masih lagi di peringkat perbincangan. Siapa yang tidak mahu mengadakan konsert dan begitu juga dengan saya. Insya-Allah, jika semua sudah muktamad, saya akan beritahu kelak. Teruskan berdoa untuk saya," kata Anuar disulami ketawa kecil.

Melihatkan persembahan Anuar sempena minggu setiausaha itu, memang sudah tiba masanya penyanyi berusia 39 tahun ini diberi peluang mengadakan konsert solonya. Kehebatan dan karismanya di atas pentas bagaikan magnet yang mampu menarik perhatian peminatnya.

Dia tidak perlu menampilkan gimik untuk melancarkan persembahannya. Cuma, lontaran vokalnya yang hebat serta penghayatan yang mendalam untuk setiap lagu nyanyian menjadikan Anuar Zain satu dalam sejuta.

Mungkinkah impian Anuar untuk beraksi dalam konsert solonya di negara ini akan termakbul?

Hanya masa yang akan menentukan.

 
 
 
CHAT BOX


MUSIC ZONE


FAV BLOG
-
 
 
ANUAR ZAIN BLOG © 2008 • Design by Shahrul Aiman