
Terkini, selepas kejayaan show Anuar Zain... Piano... & You berlangsung penuh meriah pada 6 Februari lalu di sebuah hotel di ibu kota, Joyah dengar Anuar Zain nak buat show yang lebih kurang sama di Singapura pula.
Hah! Mesti para peminat jejaka idaman Malaya ini tak sabar-sabar nak menantikan kemunculan Anuar Zain di sanakan? Sabar. Tak lama sahaja lagi. Bulan depan, Anuar memilih 7 Mac sebagai tarikh untuk bertemu peminatnya.
Joyah pun terasa teringin benar nak ikut abang Nuar ke sana menonton persembahan itu. Iyalah, show di sini Joyah terlepas, jadi Joyah tak mahulah terlepas peluang sekali lagi.
Jadi, kepada peminat setia, cepat-cepat tempah tiket. Sebab tempat duduk sangat terhad. Seperti sebuah persembahan yang intim yang dilakukannya di Kuala Lumpur, di Singapura juga, Joyah dengar tempat duduknya hanya terhad kepada 500 orang sahaja.
Iyalah, Anuar sendiri memang sukakan sebuah persembahan yang intim, yang dia dapat beramah mesra dengan setiap orang yang menyaksikan persembahannya itu.
Dan seperti persembahannya di ibukota, Anuar juga memilih lokasi sebuah hotel terkemuka di sana untuk bertemu dan bermesra dengan para peminat sebarang tambak. Bukan satu konsert besar seperti di Esplanade Theater yang berlangsung pada 8 November tahun lalu.
Seperti juga persembahan di Kuala Lumpur, Anuar akan mengambil kesempatan untuk mengunjungi setiap meja dan bermesra bersama peminat yang hadir. Hah! Pasti ramai yang dah mula teruja kan! Ya! Anuar akan singgah di setiap meja dan bertemu dengan anda.
Joyah dengar ketika show di Kuala Lumpur, bukan main seronok peminatnya bermesra dengan Anuar. Anuar kalau bertemu peminat di meja, dia tidak akan menyanyi. Dia hanya layan peminat sahaja. Dia hanya mendendangkan lagu di pentas sahaja. Kelas gitu!
Dan Joyah dengar, kalau di sini, persembahan Anuar diiringi piano, di Singapura pula Anuar memilih keyboard.