PILIHAN UTAMA

OTHER AZ WEBSITE


WEBSITE ARTIS

RADIO ONLINE


SUMBER BERITA


MESTI KLIK

FAV FORUM


 
 
GALERI FOTO ANUAR ZAIN
Ruangan himpunan koleksi gambar² Anuar Zain yang di perolehi dari pelbagai sumber ... Galeri Foto Anuar Zain
SEMBANG SEMBANG
Sembangkan sesuatu di sini. Di ingatkan setiap topik yang dihantar hendaklah mesej yang membina bukan untuk perkara² negatif ... Forum

WELCOME / SELAMAT DATANG >

Selasa, 19 Mei 2009

Anuar Rasa Tempias Kegawatan


ANUAR tidak mampu untuk mengelak apabila menjadi sasaran peminatnya yang tidak mahu melepaskan peluang bergambar dengannya.


TIADA siapa yang mampu menafikan, kegawatan ekonomi yang melanda dunia hari ini sememangnya memberi kesan mendalam kepada kita semua.

Mahu atau tidak, senario itu harus dihadapi dan ia sebenarnya terpulang kepada kebijaksanaan kita untuk merencana perbelanjaan dan kewangan kita.

Ini diakui sendiri oleh penyanyi lelaki tersohor negara, Anuar Zain yang tidak menafikan kegawatan ekonomi hari ini menyebabkan beliau lebih berhati-hati dalam segala urusan sehariannya.

Apatah lagi, penyanyi tempatan ini dilaporkan tersenarai sebagai antara artis tempatan yang menerima bayaran tinggi untuk setiap persembahan pentas.

Jelasnya, sebagai anak seni, tempias itu amat dirasainya meskipun tawaran persembahan masih lagi kencang diterima.

Dengan segala permasalahan yang melanda dunia hari ini, Anuar menjelaskan, ia terpulang kepada individu itu untuk merancang dengan sebaiknya dalam apa sahaja yang mereka lakukan.

"Begitu juga dengan saya yang kini lebih selektif dalam soal perbelanjaan kerana saya juga perlu fikirkan tentang masa depan saya.

"Namun, saya amat bersyukur kerana tawaran nyanyian dan persembahan masih lagi ada dan perkara itu tidak pernah berubah walaupun dalam masa yang sukar begini," jelas Anuar membuka bicaranya.

Anuar ditemui selepas persembahan A Luncheon With Anuar Zain sempena minggu setiausaha yang diadakan di Pusat Konvensyen Sime Darby (SDCC), baru-baru ini.

Majlis anjuran Glamour International Entertainment Sdn. Bhd. , itu turut menyaksikan kehebatan pelakon dan pelawak, Dee selaku hos selain diserikan dengan penyanyi jemputan, Fazli Zainal yang turut menyampaikan tiga buah lagu iaitu Kalbu, Sejuta Nafas Cinta dan Harapan.

Sememangnya Anuar seorang yang cukup bertuah kerana di kala anak seni lain mengeluh kerana tiada tawaran persembahan nyanyian, namun, Anuar masih unggul dan tetap menjadi pilihan.

Semuanya adalah kerana hasil kerja yang diberikan Anuar berada dalam kelas tersendiri yang mampu memberikan kepuasan maksimum kepada peminat dan penganjur.

Kegilaan wanita

Menyambung bicara, pemilik nama penuh Shahrul Anuar Zain ini memberitahu, dia begitu memahami situasi yang berlaku sekarang dan apa yang dilakukannya adalah bertolak-ansur dengan pihak penganjur persembahan.

"Kita bekerja mengikut bajet yang dikeluarkan mereka. Seboleh-bolehnya, memang saya tidak mahu menghampakan permintaan sesiapa dan segala tawaran yang saya terima merupakan rezeki yang ditentukan oleh Allah," jelas Anuar yang meraikan ulang tahun ke-11 penglibatannya sebagai penyanyi solo.

Tambah pemilik vokal lagu Keabadian Cinta dan I'm The Lucky One ini lagi, kenikmatan hidup dan segala kejayaan yang dikecapinya hari ini adalah berkat doa ibu bapa, keluarga, rakan-rakan, peminat selain daripada usahanya sendiri.

Bercerita mengenai persembahan eksklusifnya sempena Minggu Setiausaha tahun ini, walaupun masih lagi belum pulih sepenuhnya daripada demam dan batuk, Anuar tetap berpuas hati dengan persembahannya serta sambutan yang diberikan.

Seboleh-bolehnya, dia tidak mahu menghampakan peminat yang hadir dengan melaburkan wang yang begitu besar semata-mata untuk menyaksikan persembahannya itu.

Hakikatnya, Anuar menjadi kegilaan wanita yang bagaikan histeria setiap kali menyaksikankan persembahannya sudah termaktub sejak dia muncul sebagai penyanyi solo.

Senario itu juga dapat dilihat pada persembahannya yang menawarkan harga tiket dari RM398++, RM448++ dan RM498++ seorang , apabila peminatnya tidak henti mahu bergambar, berpeluk dan berbicara dengannya.

Kehadiran peminatnya yang sanggup datang dari jauh seperti dari Muar, Johor dan Singapura sememangnya cukup menyentuh dan membuatkan jejaka berbintang Aquarius ini terasa benar-benar dihargai.

Itulah pesona dan karisma seorang penyanyi lelaki terkenal yang hadir dalam pakej lengkap dan terus meletakkan dirinya sebagai seorang penyanyi dan penghibur di dalam liganya sendiri.

"Saya bukan sekadar menyanyi tetapi juga memenuhi permintaan mereka untuk bergambar bersama. Saya tahu wang yang mereka keluarkan bukanlah satu amaun yang sedikit.

"Kerana itu, saya mencuba sedaya-upaya untuk menggembirakan mereka agar mereka pulang dengan perasaan puas," jelas pemenang Vokal Lelaki Terbaik Anugerah Industri Muzik dua kali ini penuh rendah diri.

Selain itu kata Anuar, apa yang membuatkan dia begitu gembira dengan persembahannya adalah repertoire lagu yang dipilihnya pada petang itu.

Selain rangkaian lagu popularnya seperti Lelaki Ini, Ketulusan Hati, Bidadari, Mungkin, Keabadian Cinta, Kain Pelikat dan banyak lagi, Anuar juga menyampaikan lagu-lagu yang menjadi kegemarannya sebagai tanda mahu berkongsi dengan peminatnya.

Lagu-lagu tersebut adalah Hanya Kau Yang Mampu, nyanyian asal Aizat yang juga merupakan bintang baru negara yang cukup diminati Anuar, Careless Whisper (George Michael), Jerat (Harvey Malaiholo), Selalu Denganmu (Tompi) dan Terima Kasih Cinta (Afgan).

Persembahan Anuar diiringi tujuh orang pemuzik serta tiga orang penyanyi latar di bawah pimpinan Alwyn Santiago. Mereka telah memberikan hasil kerja yang cukup menakjubkan dalam menghidupkan perjalanan persembahan Anuar pada petang itu.

Masih lagi mengharapkan konsert sulungnya di negara ini akan menjadi kenyataan, Anuar hanya mampu berdoa agar impiannya itu mampu dijelmakan kelak.

"Semuanya terlalu awal untuk diperkatakan kerana masih lagi di peringkat perbincangan. Siapa yang tidak mahu mengadakan konsert dan begitu juga dengan saya. Insya-Allah, jika semua sudah muktamad, saya akan beritahu kelak. Teruskan berdoa untuk saya," kata Anuar disulami ketawa kecil.

Melihatkan persembahan Anuar sempena minggu setiausaha itu, memang sudah tiba masanya penyanyi berusia 39 tahun ini diberi peluang mengadakan konsert solonya. Kehebatan dan karismanya di atas pentas bagaikan magnet yang mampu menarik perhatian peminatnya.

Dia tidak perlu menampilkan gimik untuk melancarkan persembahannya. Cuma, lontaran vokalnya yang hebat serta penghayatan yang mendalam untuk setiap lagu nyanyian menjadikan Anuar Zain satu dalam sejuta.

Mungkinkah impian Anuar untuk beraksi dalam konsert solonya di negara ini akan termakbul?

Hanya masa yang akan menentukan.

0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

Pautan pada catatan ini:

Buat Pautan

<< Laman utama

 
 
 
CHAT BOX


MUSIC ZONE


FAV BLOG
-
 
 
ANUAR ZAIN BLOG © 2008 • Design by Shahrul Aiman