memeluknya di mini konsert A Night With... Anuar Zain yang bakal berlangsung 2 Mei depan .
Sebelum itu, kisahnya pernah menjadi bualan hangat apabila menggunakan khidmat komposer seberang dalam album solo ketiga dan kononnya menuntut bayaran RM3,000 untuk satu sesi fotografi. “Saya kecewa bila perkara ini dibesar-besarkan. Hakikatnya saya tidak pernah menawarkan atau merelakan diri dicium dan dipeluk.
Cerita ini datang daripada rakan wartawan yang tidak ada di sidang media konsert mini ini. “Iman dan populariti saya dipersoalkan. Enam tahun saya menjayakan persembahan Minggu Setiausaha, adakah itu belum cukup untuk membuktikan populariti seseorang artis? Penulisan itu bukan saja memalukan, tetapi merosakkan nama saya hingga ia dipanjangkan dalam forum dan e-mel berantai di Internet.
“Lebih memburukkan keadaan, ia ditokok tambah. Paling membuatkan hati saya tersentuh, ada yang memberi komen, kalau arwah abah saya hidup... sedangkan abah saya masih hidup. “Peminat turut terkena tempias hingga ada yang dimarahi suami, kekasih dan dikutuk di pejabat gara-gara penyebaran klip video mereka memeluk saya ketika menyaksikan persembahan Minggu Setiausaha sebelum ini.
"Tak pasal-pasal mereka turut menjadi mangsa keadaan,” katanya kesal. Pintanya baik kepada media mahupun pencinta muzik di luar sana, jangan sesekali menjatuhkan hukuman tanpa menyelidik atau bertanya dulu kepada insan yang diperkata. Usah emosi, jadilah insan yang rasional, bukan sekadar membuat kesimpulan daripada cerita atau penulisan orang lain.
“Kenal artis itu dulu, dapatkan kepastian menerusi temubual sebelum menulis atau menyebarkan cerita. Kepada yang yang suka membuat penilaian melulu dan sengaja menjatuhkan orang lain, beringat-ingatlah dengan hukum karma. “Keburukan yang kita buat kepada orang lain akan berbalik kepada kita. Kalaupun bukan dalam bentuk sama, mungkin dengan cara lain.
“Saya tahu dalam industri seni, ramai suka melihat orang lain susah. Diam tidak bermakna saya tidak tahu apa yang berlaku di belakang saya. Industri kita kecil, berbuat baiklah dengan semua orang. Prinsip saya, jangan sesekali kacau rezeki orang,” kata Anuar yang selalu berpesan kepada peminatnya supaya tidak membalas kutukan atau kritikan mereka yang tidak menyenanginya. Isu sikap mesranya hingga ada peminat bertindak berani mencium dan memeluknya, tegas anak kedua daripada empat beradik ini, dia tidak berdaya mengelak demi menjaga maruah peminatnya.
Di usia mencecah angka 38 tahun ini, dia sedar perkara itu tidak sepatutnya berlaku. Pernah ibu memberi teguran, tetapi dia tidak terdaya mengelak. Rasa hormatnya kepada peminat yang menyokong kerjayanya membuatkannya dalam dilema. “Peminat sayangkan saya dan ada antara mereka menunjukkan perasaan itu dengan memeluk dan mencium saya. Mereka tidak ada niat buruk, begitu juga saya. Saya faham ketika itu mereka teruja dan ingin menikmati kegembiraan bertemu atau menyaksikan persembahan saya.
“Sukar untuk saya jelaskan perkara ini kerana kadangkala ia berlaku terlalu pantas. Sejujurnya saya tidak sampai hati menepis atau menolak tindakan peminat kerana ia jelas akan mengaibkan mereka. Apabila dalam situasi ini, saya dihantui perasaan serba salah, ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapa. “Pernah dalam satu kejadian, mereka memeluk saya di depan abah saya. Mujur, abah memahami saya tidak boleh menolak demi menjaga air muka peminat.
“Apapun, untuk konsert mini ini, harap peminat dapat menjaga tingkah laku. Saya tidak kisah jika peminat mahu bermesra dengan saya, tapi dalam berhibur perlu ada batasnya. Biarlah keseronokan malam itu nanti tidak melampaui batas,” katanya yang tidak suka dilabel artis eksklusif kerana dia hanya insan biasa yang suka merancang kerjaya supaya dapat kekal lama dalam industri. Tambahnya, pengalaman lalu mengajarnya supaya jangan terlalu menonjolkan diri kerana ia menimbulkan kebosanan orang ramai. Balik-balik muka sama, itu yang bakal dirungut, justeru dia tidak mahu perkara itu berulang.
Bagaimanapun, ada juga yang salah faham dan melabelkannya artis eksklusif — yang tidak pernah sebesar zarah pun ada dalam kamus hidupnya. “Saya tidak pernah terfikir di mana tahap saya. Artis kelas A, B, atau C, saya tidak pernah ambil peduli. Yang lebih saya fokuskan adalah terus mencari rezeki untuk menyara diri dan membahagikan orang tua. Saya bukan datang daripada keluarga senang dan perlu bekerja keras. Syukur, hasil menyanyi, emak abah dapat berjalan ke banyak tempat.
“Sebut soal eksklusif, saya terkejut macam mana boleh timbul cerita saya meletakkan bayaran RM3,000 untuk setiap fotografi, sedangkan ia tidak pernah berlaku. Begitu juga dengan tanggapan segelintir pihak saya ‘demand'. “Saya bukan ‘demand', tapi dalam bekerja perlu ada kontrak. Pihak yang menyebarkan cerita itu tidak membaca kontrak yang dipersetujui, kemudian menyalahkan artis. “Dari dulu lagi permintaan saya dalam kontrak tidak pernah berubah. Orang yang biasa bekerja dengan saya sedia maklum dan tak pernah pula merungut. Kalau tidak, masakan mereka memanggil lagi saya dalam majlis anjuran mereka,” katanya.
Mengulas lanjut A Nite With... Anuar Zain yang bertempat di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur, jam 8 malam pada 2 Mei depan, Anuar bersyukur kerana setakat ini tiket terjual lebih 80 peratus. Mulanya jejaka ini panik apabila penganjur konsert mini itu, Sutra D'Mega Event & Entertainment Sdn Bhd, menetapkan harga tiket RM350 hingga RM650. Berasakan jumlah itu terlalu mahal, Anuar dan pengurusnya, Rohila memujuk penganjur menurunkan harga, namun permintaan itu ditolak kerana syarikat berkenaan mahu mengekalkannya kerana yakin akan mendapat sambutan.
Ternyata mengejutkan, tiket RM650 habis dijual pada hari pertama. “Alhamdulillah, jualan tikel sangat memberangsangkan. Saya berterima kasih kepada peminat kerana tidak jemu-jemu menyokong saya selama ini. “Mereka sanggup menabung semata-mata mahu menyaksikan persembahan saya. Ada antara mereka setia mengikuti persembahan Minggu Setiausaha setiap tahun, termasuk peminat dari luar negara seperti Singapura, Brunei, Belanda dan Australia.
“Kalau ikutkan, tahun ini saya ditawarkan menjayakan enam persembahan Minggu Setiausaha, tetapi memilih untuk berehat memandangkan sudah enam tahun berturut-turut beraksi dalam acara tahunan ini. “Namun saya tidak sampai hati bila peminat rata-rata berharap menyaksikan persembahan saya. Kebetulan pula Sutra D'Mega menghulurkan tangan menganjurkan persembahan untuk saya, jadi acara khas untuk menghargai peminat ini dapat direalisasikan,” katanya yang akan beraksi selama satu jam 45 minit dengan mengalunkan himpunan lagu lama dan baru yang dibawa secara medley atau penuh demi kepuasan peminat.
Penyanyi Lelaki Terbaik Anugerah Planet Muzik 2008 ini tidak lupa memanjatkan kesyukuran apabila album ketiganya yang ada di pasaran sejak tujuh bulan lalu mencecah jualan 30,000 unit. Walaupun tidak pulang modal, dia puas kerana dapat mengetengahkan lagu berkualiti yang memenuhi kehendak jiwanya dan peminat. “Dalam menghasilkan album ini, saya mengambil kira idea dan pandangan peminat. Saya tidak malu mengaku masih belajar kerana ilmu itu tidak pernah cukup. Menerusi idea peminat dan rakan sekeliling, saya dapat memperbaiki kualiti bahan dan persembahan. “Malah, saya tidak kisah belajar daripada mereka yang lebih muda kerana idea segar mereka memberi ‘input' berguna kepada saya,” katanya yang menyifatkan peminat sebagai keluarga kepada artis.
Selain album, Anuar menggunakan khidmat pakar dari Jakarta dalam penghasilan klip video lagu ‘berhantu', Lelaki Ini dan Ketulusan Hati yang mendapat sentuhan sutradara Hedy Surywaman. Menceritakan pembikinan klip video itu yang ditayangkan di saluran TV3 dan Astro (menerusi Ria Sentral) sejak awal Mac lalu, Anuar berkata, penggambarannya dilakukan Disember lalu dan siap sepenuhnya tiga bulan kemudian.
“Penggambarannya mengambil masa dua hari. Memandangkan masa terlalu suntuk, saya tidak berlakon dan digantikan dengan model tempatan (Indonesia). “Menariknya sepanjang pembikinan itu, saya dilayan bagai raja. Mulanya kekok juga, maklumlah tidak biasa dilayan seperti itu. Mereka bukan saja menjemput saya di hotel, tetapi juga menyediakan karavan untuk saya berehat dan menyalin pakaian. Setiap 10 minit, pasti ada kru bertanya mahu makan, minum atau mengurut. “Saya sudah berbincang dengan pihak Universal Indonesia untuk mendapatkan lampu hijau dengan stesen televisyen di sana menayangkan klip video ini. Harap ia berjalan lancar.
“Sambutan album ini perlahan di sana kerana menjadi trend masa kini band lebih mendapat perhatian, lebih-lebih lagi di Jakarta. Bagaimanapun di luar Jakarta, lagu saya tersenarai dalam carta, malah pernah menduduki tempat teratas. “Saya tidak meletakkan harapan tinggi kerana memahami persaingan di sana sengit. Artis mereka juga terpaksa bertungkus lumus, apatah lagi kita orang luar. Bagi saya, sudah besar rahmatnya dapat menembusi pasaran sana,” katanya tenang.
Sumber: © Harian Metro - 27 April 2008
Oleh SHAKILAWATI ABD RAHMAN shakilawati@hmetro.com.my