
Anuar Zain pernah mencetuskan rasa tak puas hati komposer tempatan semasa menerbitkan album yang memuatkan lagu Lelaki Ini. Alasannya Anuar dikatakan mengetepikan komposer tempatan dan melebih-lebihkan komposer luar iaitu dari Indonesia. Majoriti lagu-lagu dalam album itu dicipta oleh komposer Indonesia.
Malah Anuar, 37, juga turut ke sana dalam proses rakaman album tersebut. Kini lagu-lagunya popular di Malaysia. Ada yan anggap percubaan Anuar sangat berani dan membuahkan hasil apabila muzik yang cuba dibawanya diterima dengan baik. Tapi adakah Anuar mudah diterima di Indonesia?
Jawapannya, tidak. Anuar mengaku namanya tidak mudah mencuri hati peminat Indonesia, khususnya di Jakarta. Malah lagu-lagunya belum lagi dimainkan di corong radio di kota itu. Sebaliknya radio di luar kota Jakartapula yang sedia memutarkan lagu-lagunya.
"Bukan mudah nak masuk pasaran Indonesia... saya masih mencuba. Yalah saya tak punya duit banyak untuk menggiatkan promosi di sana. Saya buat sekadar mampu sahaja. Ada juga saya ke sana untuk tujuan mempromosikan diri," kata Anuar.
Dia tak putus asa dan masih berusaha untuk menempatkan nama di sana. Apatah lagi albumnya memuatkan lagu-lagu yang ada taste dari sana. Semoga Anuar berjaya.
Sementara itu Anuar juga sedang merancang mengadakan sebuah show istimewa buat peminat pada 2 Mei depan. Tempatnya di Dewan Perdana Felda. Tahun ini Anuar tidak menjayakan mana-mana show Minggu Setiausaha. Anuar sebenarnya menunggu peluang mengadakan konsert solo. Apakan daya belum ada penaja besar yang sudi menaja konsertnya.
"Ada orang yang ingin menaja, tapi memandangkan orang itu bukanlah dari syarikat yang mempunyai peruntukan besar, saya tak sedia menerima. Saya katakan kepada orang itu... mengadakan konsert ini risikonya tinggi dan kosnya besar.
Saya tak mahu ada orang yang kerugian kerana menganjurkan konsert saya. Kalau syarikat besar tak apa sebab mereka sudah ada bajet yang dilaburkan untuk tujuan promosi produk mereka juga," kata Anuar.
Oleh: ROSLI MANAH
Sumber Mangga Online