SESETENGAH suami atau teman lelaki mungkin terpaksa `makan hati' melihatkan gelagat isteri atau teman wanita masing-masing apabila bertemu penyanyi popular, Anuar Zain, yang cukup digilai peminat wanitanya. Bukan sekadar pelukan, malah ciuman juga pernah dihadiahkan kepada `Jejaka Idaman Malaya' ini, namun dalam terpaksa beliau menerimanya semata-mata menghormati peminat yang menyokong kerjaya seninya selama ini.
Bagaimanapun, untuk konsert mininya - A Nite With... Anuar Zain yang bakal berlangsung di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur pada 2 Mei ini, penyanyi itu meminta peminatnya supaya menjaga tingkah laku mereka.
“Sebenarnya, saya tidak kisah jika peminat mahu bermesra dengan saya kerana semua persembahan yang saya buat, termasuk pada malam itu nanti bertujuan mahu menghiburkan mereka. Namun, dalam kita berseronok, perlulah ada batasan... itulah permintaan saya pada peminat semua. Yang penting, biarlah keseronokan yang kita nikmati pada malam itu nanti yang `bersih' dan tidak melampaui batas,” katanya.
Demikian permintaan penyanyi itu yang kini popular dengan lagu hitsnya, Lelaki Ini dan Ketulusan Hati pada sidang media di sebuah kafe terkemuka di Bangsar, baru-baru ini. Bagaimanapun, beliau menegaskan hanya mampu menyampaikan pesanan itu, namun tingkah laku peminat di luar kawalannya, sekali gus berharap semua pihak memahami keadaan.
“Saya sendiri mahukan peminat berasa gembira apabila menghadiri majlis makan malam terbabit, seterusnya menyaksikan saya beraksi. Pembabitan peminat amat dialu-alukan bagi menceriakan persembahan. “Mereka bebas melakukan apa saja asalkan tidak keterlaluan.
Selayaknya mereka dihiburkan oleh saya pada malam itu nanti sejajar dengan sokongan tidak henti-henti terhadap kerjaya seni saya selama ini,” katanya. Pesanan Anuar itu berkait dengan sikap peminat wanita yang sering memeluk dan menciumnya apabila dapat mendekati penyanyi itu dalam persembahan sehingga menimbulkan reaksi tidak senang di kalangan pihak lain.
Bertemakan glamour, A Nite With... Anuar Zain anjuran Sutra D'Mega Event & Entertainment itu bakal menyaksikan adik lelaki Ziana Zain itu mengadakan persembahan diiringi sekumpulan pemuzik di bawah pimpinan Mac Chew.
Sesuai dengan temanya, beliau juga peminatnya datang dengan pakaian yang cantik bagi menimbulkan suasana meriah pada acara berkenaan. “Dalam persembahan itu nanti, saya akan menyampaikan sekurang-kurangnya 17 hingga 19 lagu dari album solo pertama hingga album terbaru. Untuk lagu-lagu lama, saya akan menyanyikannya secara medley... itu yang dimahukan peminat.
Yang penting, 100 peratus lagu yang akan dinyanyikan pada malam itu lagu sendiri., bukan lagu penyanyi lain. Nama pun A Nite With... Anuar Zain, tentu sekali saya akan menyanyikan lagu sendiri,” katanya.
Ditanya mengenai tempoh persembahannya, Anuar berkata, persembahan mungkin berlangsung selama sejam hingga 45 minit, bergantung kepada respon peminatnya pada malam itu. Bagi mereka yang ingin menyaksikan persembahan istimewa ini, tempahan tiket boleh dibuat dengan menghubungi Sutra D'Mega ( 03-77274515 ) atau sila kunjungi kedai muzik Music Valley dan Tower Records, selain laman web http://www.ticket2u.biz/.