Anuar Zain, satu nama besar dalam industri hiburan tanahair yang bakatnya telah diiktiraf sebagai yang terbaik. Namun tidak ramai yang tahu beberapa tahun lalu, Anuar sebenarnya pernah dilanda kontroversi gara-gara ketidaksefahamannya dengan syarikat rakaman yang pernah menerbitkan albumnya.
Dia diejek sebagai ‘artis tua’ dan didakwa tidak diterima oleh banyak syarikat rakaman memandangkan usianya yang sudah menjangkau 38 tahun. Lebih memeritkan, dia juga pernah dituduh sebagai ‘artis lembut’ yang gemar berpeleseran dengan pasangan sejenis hingga menguji kesabarannya sebagai seorang lelaki.
Namun sebagai insan yang dikurniakan akal fikiran, semua dakwaan tersebut tidak pernah dipedulikannya atas prinsip berani kerana benar, takut kerana salah. Ini kerana, dia tahu perjuangan seninya masih panjang dan bukan berdasarkan fitnah atau cakap-cakap pihak tertentu yang ingin melihat kerjayanya hancur di tengah jalan. Myartis, mengupas apa yang tersirat dan terpendam di hati Anuar dalam pertemuan di Ampang, Selangor. Semoga apa yang diluahkannya itu dapat dijadikan iktibar oleh kita dalam menempuh kehidupan yang penuh onak berduri -
"Ketika saya meninggalkan bidang pramugara, saya tidak pernah menyesal sama sekali. Bukan kerana takutkan ketinggian atau bimbang kapalterbang jatuh menjunam, tetapi saya mempunyai satu wawasan hidup yang harus dilaksanakan. Memang susah untuk membahagikan masa antara kerjaya pramugara dan seni suara.
Jika tidak memilih untuk meninggalkan salah satu cabang tersebut, sudah tentu timbul pertindihan dalam soal promosi dan sebagainya. Sebab itulah saya terpaksa pilih satu antara dua! Bayangkan, masa masih bekerja tu... sebaik sahaja habis bertugas sebagai pramugara, saya terpaksa pula bergegas untuk membuat persembahan.
Bila dah selalu macam tu, tidur pun jadi tak menentu hingga sering pula keluar masuk hospital disebabkan jatuh sakit. Jadi untuk tidak terus dibelenggu masalah, saya terpaksa fikir semasak-masaknya samaada nak terus terbang di angkasa atau nak tumpu perhatian pada nyanyian. Malah saya juga minta doa dan restu daripada kedua ibu bapa agar menyokong apa sahaja bidang yang dapat membahagiakan saya.
Dan hasil perbincangan serta pemilihan yang teliti tu, maka saya pilih seni suara sebagai kerjaya tetap. Ketika itu, saya benar-benar yakin bahawa saya boleh pergi lebih jauh memandangkan bakat yang saya miliki. Bagaimanapun, harapkan panas hingga ke petang... rupanya hujan di tengahari. Sikap bekas syarikat rakaman saya dulu amat dikesali bilamana mereka hanya lepas tangan begitu sahaja.
Promosi yang kurang dan perancangan tidak teliti telah menyebabkan album saya kurang mendapat sambutan berbanding artis lain yang tinggal sebumbung. Bila ditanya kenapa artis tu ada poster dan video klip, sedangkan saya sendiri tak ada...? Tetapi alasan yang mereka berikan amat tak munasabah kerana saya rasa saya tidak bodoh! Sebenarnya dalam hal ini, sebagai penyanyi kita sendiri tahu apa yang kita mahu dan bukannya diperbodoh-bodohkan hingga terabai begitu sahaja.
Sepatutnya, mereka kenalah full force sebagaimana saya bermati-matian meningkatkan kepercayaan peminat terhadap album tersebut. Ini tidak, jika asyik mengharap saya bekerja kuat tetapi mereka hanya berpeluk tubuh, rasanya itu sesuatu yang tidak betul. Ekoran ketidakprihatinan tersebut, akhirnya hasil royalti yang saya perolehi cukup menyedihkan hingga membuat diri ini bagai tidak dihargai. Bak kata kiasan... orang lain makan daging, kita hanya hirup kuah!
Lainlah kalau macam Siti Nurhaliza dan artis-artis lain yang album mereka memang pernah terjual melebihi 100,000 unit. Dari situ, mereka sebenarnya boleh memperolehi wang yang banyak juga hasil dari jualan tersebut... tetapi kalau macam album saya yang setakat jual 20,000 unit atau lebih sedikit tu, kita tak boleh mengharapkan 'jualan' sahaja.
Kita kena lakukan sesuatu untuk terus survived!! Atas sebab-sebab itulah maka saya sudah berpatah arang berkerat rotan dengan mereka.
Buat apa menunggu buah tak gugur jika kemampuan saya masih diperlukan oleh para peminat. Oleh itu, saya akhirnya mengambil keputusan untuk berhijrah ke syarikat rakaman Syncrosound yang dapat menjaga kebajikan saya. Kalau nak dikira, kehidupan saya kini boleh dikatakan okey juga. Dalam sebulan, dapatlah dua atau tiga show yang mampu menampung segala keperluan. Atau dalam erti kata lain, ia lebih baik dari sebelumnya!
Menyesal..? Sebenarnya kita tak boleh fikirkan soal menyesal. Apa yang kita telah buat atau apa sahaja keputusan kita... kenalah tetap. Apa-apa yang kemudian tu kita fikirkanlah kemudian. Sebab kalau menyesal, kita akan asyik terfikirkan benda tu hingga menyebabkan kita masih kat belakang kerana tak bergerak. Bagi saya, apa-apa yang kita buat samaada betul atau salah, kita harus terus ke hadapan... itu prinsip saya! Malah saya rasa ramai yang sudah tahu bagaimana satu ketika dulu saya pernah digosip begitu teruk sekali apabila ada yang mendakwa saya seorang gay.
Ketika itu, memanglah saya rasa sedih sebab orang tak kenal kita hingga ada dikalangan wartawan yang masih terus bertanya kebenarannya. Meskipun telah dijelaskan berkali-kali, namun masih ada juga segelintir pihak yang terus memandang serong pada saya. Oleh yang demikian, perlu dijelaskan bahawa sebelum nak menuduh seseorang itu sembarangan, kita kena tanya atau kenal orang tu dulu samaada betul ataupun tidak. Ikhlasnya, masa mula-mula dengar gosip liar tu memanglah rasa risau yang amat sangat.
Tapi beberapa hari selepas itu, saya terfikir semula... kalau kita tak buat kenapa kita harus bising atau melenting. Biarlah apa orang nak cakap, janji kita tahu apa yang kita buat kerana kita memang tak bersalah. Untuk pengetahuan semua, selama inipun saya tidaklah mempunyai rakan yang ramai dikalangan artis. Bukan nak jadi katak bawah tempurung, tetapi kalau artis sama artis berkumpul tu... tak lain tak bukan asyik nak berborak atau nak cerita pasal gosip. Itu memang saya tak suka!
Bagaimanapun, kalau setakat datang menonton persembahan artis untuk bagi sokongan moral tu memang selalu saya hadir. Dengan cara ini, ia dapat memberi semangat pada artis tu disamping menonjolkan sikap saling bersatu untuk memartabatkan dunia hiburan. Kerana sebagai manusia, kadangkala kita tak tahu apa yang bakal berlaku dalam industri ni. Contohnya pernah dulu saya bercita-cita nak jadi guru, pegawai polis dan macam-macam lagi. Tapi kata orang itu hanya perkembangan masa kita dalam proses kematangan dan hasilnya sekarang saya telah berani untuk terjun ke dalam apa jua bidang yang saya fikirkan baik untuk masa depan.
Paling penting, kerjaya tersebut biarlah yang boleh membuat saya gembira.
Kalau tak terikat dengan mana-mana syarikat rakaman pun, mungkin saya masih boleh membuka productions house untuk menerbitkan album saya sendiri. Sebab kalau kita menerbitkan album sendiri, masa tu kita boleh buat apa sahaja yang kita mahu. Masa tu, tak perlulah kita nak berkompromi dengan mana-mana syarikat rakaman kerana apa yang kita hasilkan tu adalah khas untuk peminat setia. Selain itu, saya juga mempunyai impian untuk membuka beberapa cawangan cafe kecil di seluruh negara.
Setakat ini, beberapa perbincangan telah saya lakukan dan semuanya mungkin menjadi kenyataan dalam masa beberapa tahun lagi. Insya'allah. Sebelum itu, saya harap peminat semua akan menyokong perjuangan saya untuk menghasilkan lebih banyak album-album bermutu. Sokongan yang tak berbelah bagi itu amat saya hargai kerana tanpa anda semua, siapalah saya.
Terbitan Semula dari http://anuarzain.forumco.com/