PILIHAN UTAMA

OTHER AZ WEBSITE


WEBSITE ARTIS

RADIO ONLINE


SUMBER BERITA


MESTI KLIK

FAV FORUM


 
 
GALERI FOTO ANUAR ZAIN
Ruangan himpunan koleksi gambar² Anuar Zain yang di perolehi dari pelbagai sumber ... Galeri Foto Anuar Zain
SEMBANG SEMBANG
Sembangkan sesuatu di sini. Di ingatkan setiap topik yang dihantar hendaklah mesej yang membina bukan untuk perkara² negatif ... Forum

WELCOME / SELAMAT DATANG >

Isnin, 16 Februari 2009

Cerewet dan Kehendak diri Anuar



ORANGNYA mementingkan kesempurnaan. Daripada segi penampilan diri hingga kepada nyanyian serta produk yang dihasilkan, semuanya dijaga rapi oleh empunya diri. Mungkin kerana itu ramai menganggap dia cerewet. Namun tegas Anuar, itu haknya. “Saya bukan cerewet tapi teliti,” ujarnya.


Menurut Anuar, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk memberikan yang terbaik terutama buat peminat yang selama ini sanggup mengeluarkan wang untuk menyaksikan persembahan dan membeli albumnya. Kata Anuar lagi, selain untuk kepuasan, memang tiada dalam istilah ‘kerja asal boleh' dalam hidupnya kerana apa sahaja yang dilakukan adalah punca rezeki.
Malah kalau mahu bertahan lama dalam bidang ini, selain memberikan yang terbaik, kita juga perlu tahu kehendak dan hala tuju diri.

“Jangan kata saya sombong dengan kenyataan begitu kerana bagi saya, itu (sikap cerewet dan ketelitian) perlu ada dalam diri setiap manusia,” tegasnya. Mungkin ya, Anuar Zain yang digelar jejaka idaman Malaya ini sangat mementingkan ketelitian dalam mencari kesempurnaan dengan apa yang dikerjakan.


Tetapi dia juga sebenarnya mempunyai sikap toleransi dan kesabaran yang tinggi. Malah dalam usaha menggapai impian merealisasikan konsert sulungnya, dia tidak pernah mengalah. Tidak lelah mengetuk pintu mencari penajaan, dia tahu ia bukan satu kerja mudah dan cabaran itu juga membuatkan dia tabah untuk terus mencuba.


Kerana selain percaya pada rezeki yang ditentukan oleh-Nya, Anuar yakin, pasti satu hari nanti dia akan ketemu dengan mereka yang benar-benar mahu berkerjasama.
“Ini tentang duit orang tapi saya buat proposal dan jumpa semua orang selagi tak letih, hantar selagi boleh tetapi saya tidak akan pernah sekali-kali memaksa mereka. Ini adalah ikhtiar saya,” katanya mengenai perancangan konsert yang masih belum nampak hasilnya.


Intim bersama


Pun begitu, dalam usaha mencari penajaan bagi konsertnya, Anuar tetap fokus dalam kerjaya. Perancangannya tahun ini dibuka dengan satu persembahan eksklusif buat peminat setianya. Pada 6 Februari ini, bertempat di Hotel Concorde, Anuar bakal beraksi bersama iringan piano petikan pengarah muzik, Alwyn Santiago dalam persembahan Anuar... Piano... & You.
Kata Anuar, persembahan itu nanti hanya berskala kecil. Hanya kira-kira 35 meja yang akan dijual.


Demi kepuasan diri dan penghargaan buat peminat yang selama ini menyokongnya, pelontar lagu-lagu cinta popular ini mahu memberikan satu pengalaman berhibur yang tidak akan dilupakan.


“Melihat orang terhibur, cukup memuaskan. Saya juga sebenarnya suka menghibur di venue yang kecil. Yang saya boleh nampak penontonnya dan sama-sama merasai getaran keindahan hiburan yang saya berikan,” katanya.
Justeru sudah pasti ramai peminat yang berkira-kira untuk menikmati hiburan bersama Anuar apalagi jejaka itu sudah hampir setahun tidak muncul apabila kali terakhir beraksi pada Mei lalu di Kuala Lumpur.


Kecuali mereka yang fanatik yang sanggup ikut turun ke Singapura menyaksikan persembahannya di Esplanade Theater pada 8 November lalu.
Tentu sekali persembahan eksklusif itu juga ditunggu-tunggu peminat kerana buat julung kalinya Anuar hanya akan beraksi dengan petikan piano.


“Ya, hanya saya, piano dan pendengar. Intim sekali,” katanya sambil tersenyum.
Juga sudah tentu, jangan lupa bersiap diri untuk menyaksikan persembahan sempena Minggu Setiausaha yang bakal berlangsung April nanti. Hanya satu show dan ia sememangnya eksklusif, kata Anuar yang mengakui menerima beberapa tawaran tetapi hanya mahu berkolaborasi dengan satu penganjur.


Optimis


Anuar Zain, album yang ketiga yang mengambil judul namanya itu nyata memberikan satu impak terutama pada sembilan bulan pertama pemasarannya apabila berjaya terjual sehingga lebih 31,000 unit.
Biar banyak kata-kata kurang enak dilontarkan saat album itu sedang meniti populariti gara-gara persoalan mengenai kolaborasinya dengan pengkarya seberang namun Anuar berpegang pada prinsip, muzik seharusnya melangkaui sempadan.
Sememangnya kalau melihat optimisme Anuar terhadap lagu dan gubahan karya yang terkandung dalam album itu, percaturan tersebut sekurang-kurangnya memberi nuansa baru kepada dunia muzik tempatan.


Tetapi kata Anuar, disebabkan itu dia dilabel sebagai lupa diri. “Saya bukan orang yang mudah lupa diri. Jangan cepat membuat andaian, tanggapan sekiranya saya tak pilih lagu sesiapa. Ia tentang kesesuaian. Masalahnya bila saya tak terima lagu, kata saya macam-macam,” jelasnya.
Selalu bersemangat dalam menerbitkan produk baru namun penyanyi itu bertegas, bahawa pembikinan album tak seharusnya berlaku sekadar mahu ada sebuah yang baru. Kerana kata Anuar, penghasilan album bukan sekadar mahu buat duit kerana duit sebenarnya datang daripada show yang diperoleh. “Ia lebih kepada kepuasan,” ujarnya.
Sedang dalam perancangan untuk menerbitkan album terkini, Anuar inginkan sebuah album yang simple namun menegaskan, itu tidak bermakna melodi dan liriknya dibuat sambil lewa malah perlukan kelainan daripada segi persembahan.


“Ya, mungkin itu yang menyebabkan saya cerewet. Tapi bagi saya perkara itu penting,” katanya yang sudah memperoleh sebuah lagu pilihan, datangnya dari pencipta Indonesia.
Anuar mengakui kerana maklum balas mereka yang cepat, industri khususnya pengkarya kita seharusnya mengikut jejak langkah mereka yang cekap. Kita perlu belajar untuk bertindak cepat, kata Anuar yang mengakui adakalanya dia menerima lagu terlalu lambat sedangkan dia sudah meminta sedari awal, juga ada yang takut penolakan menyebabkan ada pengkarya yang tidak mahu memberi lagu kepadanya.


“Saya dengar setiap lagu yang saya dapat. Kalau saya suka, saya ambil. Pihak pengurusan tidak campur tangan dalam hal ini dan saya tidak berkompromi untuk memilih yang terbaik untuk saya. Hak memilih lagu, hak saya. Saya yang menyanyi, saya yang inginkan kemahuan saya.
“Saya juga kurang percaya pada konsep penciptaan lagu custom made. Selalu saya lihat perancangan begitu gagal kerana adanya pembatasan. Tak perlu ada idea melodi apa yang sepatutnya dinyanyikan oleh saya atau oleh sesiapa juga.


“Saya suka dengan cara saya. Saya pilih sesuatu yang saya dengar dan saya suka. Lagipun, dalam kes saya, selera saya berubah-ubah. Saya bukan seorang yang terikat dengan sesuatu untuk satu jangka masa sedangkan banyak idea, pengaruh dan pendedahan yang saya peroleh sepanjang perjalanan itu.


“Dan kalau nak kata saya demanding, cerewet maka itu adalah hak saya untuk memastikan kualiti produk saya. Kerana itu bagi saya ayat yang tepat adalah teliti. Oleh kerana pentingkan kesempurnaan maka saya jadi amat teliti,” jelasnya.

Sumber: © Utusan Online - 01 Feb. 2009
Oleh WANDA IDRIS Foto RASHID MAHFOF Solekan & Dandanan ANIS Lokasi HOTEL CONCORDE, JALAN SULTAN ISMAIL (Terima kasih Julini Yusof)

0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama

 
 
 
CHAT BOX


MUSIC ZONE


FAV BLOG
-
 
 
ANUAR ZAIN BLOG © 2008 • Design by Shahrul Aiman